Islamic Widget

Latest Update

Koleksi Novel

Aku suka baca novel!!! Korang tak suka ke??? takpe2 tak bole nak paksa2 kan??=) hehe... Hidup kat dunia ni, kita tak berpeluang untuk merasa segala jenis kehidupan. Pahit manis, susah payah, penat jerih dan sebagainya. Begitu juga dengan aku. Aku tak pernah merasa untuk bermain salji, merasai panasnya kat gurun di siang hari dan sejuknya gurun di malam hari. Aku pun tak pernah merasa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, atau hidup mewah. Nak apa, just say and You will get it..No! Never! Hidup aku sederhana, tak susah tak senang, tak kaya. "Aku Orang Kampung je"..Hehehe...


Kadang-kadang aku pun teringin juga nak merasai,memahami dan mengenal dengan sedalam-dalamnya erti kehidupan ini.Tapi aku tak mampu. Aku tak bersedia untuk menjadi orang yang susah begitu juga untuk menjadi orang yang kaya raya. Cukuplah aku hidup besederhana.. So, salah satu cara untuk aku mendalami kehidupan ini adalah melalui novel.. 


Nampak macam mengarut kan??.. Tapi TAHUKAH ANDA?(Chewahhh cam National Geographic  lak kan??? hahaha) penceritaan bagi setiap novel adalah meliputi segala aspek kehidupan, sifat kasih sayang yang ditonjolkan, sikap dan sifat antagonis yang ditonjolkan yang sememangnya wujud pada abad ini. Kalau kita menelusuri secara positif terdapat banyak pengajaran yang ditonjolkan di dalam novel-novel ini. 


Zahirnya, ia memang novel cinta, tapi hakikatnya CINTA itu juga adalah sebahagian daripada aspek kehidupan kita. Hidup ini memerlukan CINTA... CINTA kepada Pencipta-NYA... CINTA kepada Rasul-NYA, CINTA kepada Ibu dan Ayah serta CINTA sesama manusia...=)

Novel-novel di bawah ini adalah sebahagian daripada koleksi novel saya sejak tahun 2003-kini. Selamat berkongsi untuk semua...=)

BICARA HATI (2003)
Tatkala sendirian hatiku terdengar degupan cintamu
SINOPSIS
DALAM satu kemalangan kecil yang tidak disengajakan, Tengku Syahran dan Zahlia bertemu. Ketika itu, Tengku Syahran sedang buntu memikirkan cadangan emaknya ingin menjodohkan dia dengan Linda, seorang wanita yang tidak pernah dicintai.

Seminggu mengenali Zahlia, Tengku Syahran menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Zahlia untuk mengelak dirinya dikahwinkan dengan Linda. Zahlia terkejut dengan permintaan Tengku Syahran. Tengku Syahran tidak dikenali dan tidak mungkin Zahlia boleh jatuh cinta dengan pemuda itu.
Zahlia serba salah untuk menerima lamaran itu. Pelbagai cara dilakukan oleh Tengku Syahran untuk memenangi hati Zahlia. Akhirnya Zahlia akur tetapi dengan syarat, iaitu hak-hak peribadi Zahlia tidak akan diganggu.

Setelah diijabkabul, Tengku Syahran mula berubah. Egonya terlalu tinggi dan dia tidak mengikut penjanjian yang telah ditetapkan. Zahlia rasa tertipu. Tengku Syahran telah mungkir janji. Kini timbul pelbagai konflik dalam rumah tangganya.

Benarkah hakikat bahawa perkahwinan yang berdasarkan kontrak tidak dapat mengundang rasa cinta, kasih, sayang dan kerinduan? Bicara Hati sebuah kisah yang dapat mengungkap segala rahsia. 

p/s: Ini adalah novel pertama yang saya beli. Bermula dari membaca sequence novel ini dari Majalah Bacaria, saya akhirnya bertekad untuk mendapatkan novel ini yang akhirnya memberi kepuasan yang teramat sangat selepas membacanya..hihi.. walaupun jenuh nak cari! hu3 Tabik kat writer ni... =)



SEREDUP KASIHMU (2003)

Hatiku berbunga setelah dihinggapi kumbang kasihmu
SINOPSIS
KISAH silam Lea Haryani sentiasa menghantui hidupnya. Lea Haryani dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan kedua orang tuanya. Setelah ibunya meninggal dunia, Mak Longnya, Sutinah memeliharanya sehingga dewasa.
Lea Haryani tidak begitu senang dengan sikap Mak Longnya. Apa sahaja yang dilakukan oleh Lea Haryani tidak menyenangi hati Mak Long. Ada-ada sahaja kesalahan yang dicari. Bukan itu sahaja, Mak Long juga suka mengungkit asal-usul keturunan menyebabkan Lea Haryani terasa kerdil untuk berhadapan dengan masyarakat.
Setelah dewasa dan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, sikapnya yang pasif terbawa-bawa hingga ke universiti. Di universiti dia tidak mempunyai kawan rapat melainkan kawan sebilik bernama Suziyan.
Emir Safwan yang satu kuliah dengan Lea Haryani cuba menggodanya tetapi tidak dilayan. Pelbagai cara dilakukan oleh Emir Safwan untuk memikat hati Lea Haryani namun tidak berhasil. Dengan bantuan Profesor Halim, akhirnya Lea Haryani dipertemukan dengan Emir Safwan.
Mama Emir Safwan tidak berkenan dengan Lea Haryani dan menyuruh anaknya itu memilih Syamen, anak Datin Jawaher. Emir Safwan tetap dengan pendirian memilih Lea Haryani. Akhirnya berlakulah konflik. Lea Haryani mengalah dan menyuruh Emir Safwan akur dengan pilihan mamanya. Emir Safwan tidak boleh terima kerana hatinya benar-benar mencintai Lea Haryani. Berjayakah Emir Safwan memujuk hatinya yang telah terluka untuk menawan hati Lea Haryani kembali? Berapa mahalkah harga yang harus dibayar untuk satu kemaafan?

SEHARUM KASIH(2004)
Cinta kita tak pernah layu kerna ia sentiasa dibaja angin lalu
SINOPSIS

ANEHNYA cinta, bila dua hati saling merindu pada bait kata-kata. Tanpa kenal wajah, tanpa dengar suara, Reeza dan Rasya saling bertingkah rasa. Bagi Reeza, hubungan ini harus dimaknakan segera. Namun, Rasya sering berdalih menyembunyikan resah. Mengapa sukar untuknya melafazkan cinta? Sedangkan bahagia sudah di depan mata?



Sayang sekali... gosip dan fitnah melontarkan jauh cinta mereka. Rasya pergi dengan prasangka. Dia bertindak menerima kasih Fahmi untuk membalas sakit hati. Namun, akhirnya Fahmi melepaskan Rasya yang masih suci. Tetapi Rasya malu untuk kembali kepada lelaki sejujur Reeza. Dia sengaja menghilangkan diri agar jejaknya tidak dicari. Tetapi dunia yang luas ini tidak mampu memisahkan mereka.



Pertemuan yang tidak diduga merapatkan kembali sisa cinta yang hampir padam. Tapi redhakah dia melukakan hati Hilda, tunangan Reeza? Kali ini Rasya tekad! Cinta Reeza harus direbut dan dimiliki!
PELABUHAN KASIH(2004)
Izinkan kupimpin dirimu dari kamar waktu yang sepi itu
SINOPSIS
Fatin Nabilah gadis sederhana yang jauh dari kehidupan sosial. Pelajaran adalah tunggak utama dalam hidupnya. Dia juga berpegang teguh pada prinsip; lelaki pertama yang keluar dengannya akan dipastikan menjadi suaminya.

Perkenalannya dengan Azril Adam, teman sekampus telah menerbitkan bibit-bibit cinta yang tidak diduga. Azril menjadi lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya. Kehadiran lelaki itu membuatkan hidupnya semakin ceria. Malah, dia redha menerima sikap panas baran Azril yang sering menyakiti hatinya atas prinsipnya bahawa lelaki itulah bakal teman hidupnya!

Perkahwinan yang dibina ibarat retak menanti belah. Tidak tahu di mana silap, Fatin sering menjadi mangsa cemuhan Azril. Akhirnya, Fatin terpaksa akur bahawa prinsipnya itu harus dicampak jauh. Azril ditinggalkan setelah menjadi saksi pernikahan kedua suaminya dengan Nadira. Fatin pergi bersama dua anaknya dengan hati yang terluka.

Cinta pertama memang indah. Tapi tidak bermakna cinta yang datang selepas itu, tidak sehebat cinta pertama. Kehadiran Fazil yang begitu setia, disambut baik oleh Fatin. Biarpun penantian itu satu penyeksaan, tapi jika yang diidamkan akhirnya menjadi nyata, dia rela menunggu biarpun beribu tahun.

Akhirnya, sauh kasih Fatin berlabuh jua. Kali ini di pelabuhan cinta Fazil. Semoga kesetiaan Fazil tetap utuh selamanya, biarpun badai sentiasa bergelora.
SEPI TANPA CINTA(2004)
Ku tetap menanti selagi ada rasa di sebalik rindu yang tegar
SINOPSIS
HAZIQAH mempunyai impian untuk hidup bahagia di samping Yusri. Namun, tiada siapa menyangka di saat hari bahagia itu bakal menjelma, ada yang membuat onar sehingga kesucian dirinya dipersoalkan. Lantaran itu, pelamin angannya musnah bersama harapan dan hatinya hancur umpama terhempas!

Namun, Haziqah nekad. Majlis perlu dilaksanakan. Yang penting, fitnah dapat ditamatkan. Biarpun Fakrul tidak pernah dicintai, dia rela asalkan kesucian dirinya dapat dibuktikan. Tetapi malang, perkahwinan yang tercipta itu hanya menambahkan penderitaan yang sedia tergalas di bahu. Dia dikeji dan digantung tak bertali!

Bagi Fakrul, cintanya bukan untuk Haziqah tapi masih untuk Azura. Gadis pertama yang dicintainya... tetapi kecurangan Azura menambahkan kebenciannya kepada Haziqah. Dia benci pada perempuan yang tidak setia. Namun, pertemuan kedua antara Fakrul dan Haziqah membuatkan dia mula yakin bahawa Haziqah adalah miliknya. Bukan Yusri mahupun Hafiz... sepupunya.

Mampukah Haziqah menyambut huluran cinta Fakrul setelah dirinya puas dihina? Haziqah tidak mahu pisang berbuah dua kali! Baginya, kedukaan lalu masih bertapak utuh di hatinya. Cukuplah sekali... 

KABUS KASIH (2004)
SINOPSIS
CINTA Hardina pada Zafril mula berputik sejak mereka sama-sama menuntut di kampus hingga membawa ke alam pekerjaan. Ibu bapa Hardina mengetahui hubungan mereka dan merestuinya. Setelah Hardina menaruh sepenuh kepercayaan, tiba-tiba Zafril menjalinkan hubungan dengan gadis lain. Pertemuan Hardina dan Hasif telah merubah segalanya. Sejak terpandangkan Hardina, Hasif sudah mula tertarik dengannya. Setiap hari wajah itu sentiasa beraja di hati. Tidurnya tak lena dan makannya tak lalu. Rasa rindu mula menguasai dirinya. Begitu juga dengan Hardina. Apa sahaja yang dilakukan serba tak kena.

SAAT CINTA BERSEMI (2005)
Biar beribu tahun akhirnya hatimu akan kembali ke lubuk kasih kita
SINOPSIS
BENAR, tiada siapa yang mengharap derita sepanjang hidupnya. Begitu jua dengan Nur Dhuha yang tidak pernah mengimpikan duka. Namun, takdir sudah tertulis... kehidupannya terus dirundung malang.

Syamir... walau kewujudan semula lelaki itu tidak pernah dimahukan sama sekali, dia tetap tega memburu Nur Dhuha. Dendamnya begitu mendalam walau episod duka sudah berlalu bertahun lamanya. Nur Dhuha... didera mental dan fizikal seolah tidak layak menikmati hidup. Walau derita, jauh di sudut hati, dia tetap mendambakan kasih dan sayang. Bencinya terhadap Syamir hanya di bibir. Luka yang dicipta Syamir berulang kali dirawat sendiri sehingga sabarnya mencapai kemuncak.

Kehilangan Nur Dhuha meragut keegoan Syamir. Benarlah kata orang, betapa pentingnya seseorang itu hanya dapat dirasai apabila kita kehilangannya. Tatkala hampir kehilangan gadis itu, perlahan-lahan cintanya datang bersemi. Lantas, dia kembali sebagai pemburu demi sebuah kemaafan. Wajarkah kemaafan buat Syamir setelah Nur Dhuha hampir hilang pedoman diri? Masih adakah harapan untuk Nur Dhuha mengecap bahagia?
CINTA TIADA AKHIRNYA (2005)
Tak henti hati ini menyebut namamu, Tak henti jua degupan rindu memalu jantungku.
SINOPSIS
Rentetan Perkahwinan rahsia antara Izzah dan Hariz di Ombak Rindu dipanjangkan lagi di dalam 'Cinta....Tiada Akhirnya.

Kehidupan menjanjikan segalanya. Pahit, manis, suka dan duka. Satu perjalanan anugerah dari Maha Pencipta yang menjanjikan kematian dalam kembara kehidupan. Bagi kaki yang melangkah dan tangan yang menadah, terpulang pada insan itu sendiri mencorak hidupnya.

Inilah kisah.....CINTA .....TIADA AKHIRNYA, menyelami Izzah yang setia, hampir sempurna, menyajikan cinta pada suaminya, Hariz yang masih mencari diri dan cinta sejati.

Disulami detik cemas yang pasti mengocak minda, mendebar jiwa, CINTA....TIADA AKHIRNYA, akan menyerapi kehidupan setiap pembaca. 
KAU SAYANGKU (2005)
Jika rindu itu berbunga cinta, air mata itu pula adalah embun di kelopaknya
SINOPSIS
KAU SAYANGKU mengisahkan seorang gadis yang pada zahirnya seorang yang periang, tapi di sebalik gelak ketawa, senda guraunya, tersimpan satu kisah yang agak pahit untuk ditelan. Adik kembarnya telah pergi bersama cinta yang tidak kesampaian dan keluarganya telah dibenci oleh ibu saudaranya sendiri.

Kehadiran Eddy Sham dan Akif Zamani telah mengocak jiwa remaja Arisa.Kedua-duanya mempunyai personaliti yang menarik dan berkarisma. Mereka mempunyai impian yang sama iaitu ingin memberi dan menerima cinta. Tapi sayang... satu hati hanya berhak untuk satu jiwa. Lantaran, Eddy Sham terpaksa mengalah dan membiarkan Akif zamani meraikan kemenangan cintanya. Sayang sekali... di saat cinta sampai ke puncak, sesuatu yang tidak diingini terjadi. Redhakah Akif menerimanya? Berjayakah Arisa mempertahankan cinta sedangkan nasib cintanya di tangan orang lain?
GELORA JIWA (2005)
Kupasrah menyahut kasih meskipun  parah dibayangi impian
SINOPSIS
Siapa kata setia tak mungkin berlaku curang? Siapa menduga kasih takkan bertukar menjadi benci? Katakan sejujurnya, bagaimana harus disukat bahagia jika dalam hati Intan Azureen, berkocak dilanda asmara.

Seraut wajah tenang itu, tiba-tiba berubah menyimpan seribu luka. Keluh resahnya sekadar melunakkan hati yang duka. Bagaimana harus dijelaskan; setianya bukan lagi untuk Hanif Azman tunangnya. Tapi, kasihnya sudah berpaling jauh pada Hanif Ashman dalam sekelip mata!

Siapa merampas dan siapa yang dirampas? Siapa yang berhak dan siapa pula yang tak punya hak? Intan Azureen lemas di tengah-tengah kekusutan. Dia harus teguh memegang janji wasiat; membina rumah tangga dengan lelaki pilihan keluarga.

Atas desakan keluarga melawan kehendak hati, dia harus membuat pilihan yang tepat. Hanif Ashman satu mimpi. Hanif Azman pula satu realiti. Tapi mimpi itu juga yang sentiasa membayangi hidupnya. Ah, sukarnya menidakkan takdir sedangkan cintanya hanya untuk Hanif Ashman seorang. Jadi, bagaimana?

Dia tekad, dilema ini harus dinoktahkan. Siapapun yang terpilih, dia akur akan melimpahkan kejujuran sepenuh hati. Tapi, siapakah antara mereka yang bakal mengongsi hidupnya sepanjang hayat? 

SETULUS JANJI (2005)
Tanpa lafazpun ku tahu kau  akan datang pada tika dan saatnya
SINOPSIS
Ilham dan Insyirah, dua beradik angkat yang membesar bersama bagai abang dan adik. Tanpa diduga, ada rindu yang bertamu di hati mereka. Dalam diam, masing-masing menyimpan rasa. Cinta, kasih dan rindu mereka bersatu menjadi tugu. Namun, Ilham atau Insyirah tidak berani bersuara. Bimbang kasih yang hadir, hanya bertepuk sebelah tangan.

Bertahun-tahun mereka memendam rasa. Ilham hanya memandang dari jauh meleraikan resah. Insyirah pula menyulam gelisah di tabir mimpi. Mengapa tidak berterus terang? Adakah mereka takut pada jawapan ya atau tidak sedangkan cinta harus dilafazkan dengan kata-kata!

Dugaan datang bila Aiman berjaya mendekati impian Insyirah. Ilham yang tersilap menduga, bertindak mengikat Juwita sebagai tunangannya. Mereka berpura-pura menerima orang lain sedangkan hati tidak benar-benar rela. Hanya bulan dan bintang yang setia mendengar rintihan mereka.

Cinta yang hampir terhumban, kembali marak menyala. Keajaiban ALLAH, akhirnya menyatukan Ilham dan Insyirah sebagai suami isteri. Begitulah setulus janji dua kekasih yang pernah terluka dan dilukai, agar pengalaman di masa silam dijadikan kenangan.
DEKAT DI HATI (2005)
Sayang tak terkata, Rindu tak terhingga
SINOPSIS
17 tahun yang lalu, hati Johan bagai dihiris sembilu setiap kali mendengar sindiran saudara-maranya. Harga dirinya seperti diinjak-injak oleh mereka hanya kerana dia bukan pegawai besar. Sekian lama menahan sabar, akhirnya dia membuat keputusan setelah puas beristikharah. Dengan linangan air mata, isteri dan anak-anak ditinggalkan. Sebagai lelaki sejati, dia harus pergi untuk memperbaiki kehidupan mereka sekeluarga.

Masa silih berganti, Johan pulang untuk menggalang janjinya kepada Noraini, Izuddin dan Izatti. Malangnya, harapan tidak semudah yang dilafazkan. Pemergiannya dulu dianggap sebagai lelaki pengecut! Apatah lagi tindakan melulunya dulu menceraikan Noraini yang setia, ibarat melepaskan satu tanggungjawab.

Susah hidupnya di rantau orang, derita lagi hidup Noraini bersama anak-anak. Izuddin membesar sebagai anak yang tahu diri. Manakala Izatti pula sentiasa mencari-cari kasih ayah yang sudah ‘mati’.

Dalam diam, Johan cuba memenangi hati Izuddin dan Izatti yang menganggapnya sebagai ayah yang culas. Hasratnya mahu menyatukan mereka dalam sebuah keluarga. Dan dia mahu Noraini kembali ke pangkuannya untuk membina semula kehidupan mereka.
IZINKAN KUBAHAGIA (2006)
Biarlah sepi ini menemani rindu yang berlalu
SINOPSIS
Setiap manusia mencari cinta dalam hidup mereka. Tapi rupa-rupanyanya, cinta sahaja tidak cukup kalau tiada bahagia. Begitulah episod duka yang dilalui Soraya, Nadya dan Zafir.


Soraya kecewa dalam perkahwinannya. Kehadiran Zafir ibarat peluang baginya menyandarkan harapan. sedangkan sepuluh tahun dahulu dia pernah menolak impian pemuda itu.


"Suka saya adalah suka lelaki kepada perempuan, lebih tepat cinta." Zafir meluahkan perasaannya.



"sayang saya pula adalah sayang seorang guru kepada muridnya!" Soraya tegas menolak lamaran cinta itu.



Nadya pula ingin bahagia di samping Zafir. Tiga tahun mereka bertunang, namun hasrat untuk dijabkabulkan sering tertangguh. "Antara saya dan cinta pertama awak, siapa yang lebih penting?" Kisah cinta mereka menjadi seperti langit, kadangkala cerah, mendung dan cerah kembali.



Sesak nafas Zafir. Perasaannya terbelah dua. Dia jadi keliru. Hatinya untuk siapa? Nadya tunangnya dan Soraya pula cinta pertamanya. Siapakah kunci kebahagiaannya?



Mereka terperangkap antara harapan, kenangan dan masa depan. Di manakah titik pertemuan mereka? Sedangkan cinta perta tidak semestinya cinta terakhir...

"Izinkan kubahagia..." bisik Nadya.
Bisikan yg sama terlafaz dalam hati Soraya dan Zafir.

BUATMU KEKASIH (2006)
Kuserahkan jiwa untuk bersamamu merentasi horizon ke hari esok
SINOPSIS
Tanpa Fikri, dunia Ika tidak bermakna.
Tiada Lukman, betapi sepinya hati Farah.
Betapa getir dugaan, Fuad tetap milik Umairah.
Meski bertahun berpisah, hati Zainal hanya untuk Kay.
Dan cinta suci Hanif adalah memori terindah Intan Azureen.

Tahun berlalu... kini Ika, Farah, Umairah, Kay dan Intan sedang meniti
alam kedewasaan. Walau jauh di sudut hati mereka mengharapkan
kebahagiaan, namun yang terluka ada perasaan yang tersentuh, ada hati
yang merana. Namun, dengan kekuatan kasih sayang, segala dugaan cuba
diatasi sebaik-baiknya.

Buatmu Kekasih menggambarkan betapa akrabnya kita dengan watak-watak
dalam karya terdahulu hingga merasakan bahawa mereka turut menghirup
udara yang kita hirup, tinggal di bawah langit yang sama dan juga
berlampukan sinaran bulan yang satu. Khusus untuk pembaca tersayang,
saya titipkan khabar terkini pasangan-pasangan yang pernah saya
ilhamkan. Semoga dengan kisah yang saya lakarkan ini dapat memberi
ikhtibar untuk kita meniti hidup seharian.
KAU KEKASIHKU (2006)
Aku dah tak berdaya berkawan dengan angan-angan bertemankan bayang-bayang
SINOPSIS
Hadirmu bagai sinar mentari pagi. Menerangi lorong kelam lagi sunyi yang selama ini kulalui. Melenyapkan kedukaan yang bagai berkurun lama memenjara jiwaku dalam sepi. Terasa kini, bahagia ada di mana-mana. Hanya dirimu yang bertakhta di hati.

Pandanglah ke dalam mataku... selamilah jauh hingga ke dasarnya. Pasti yang akan kau lihat adalah rinduku terhadapmu. Tapi, apakah getaran cinta yang meruntun hati hanya aku saja yang merasakannya? Zairi... hatimu sebenarnya untuk siapa? Mengapa kau terus membisu pada ketika aku amat yakin yang aku bukan berbayang seorang diri? Aku tahu cintaku berbalas, tapi mengapa tak pernah sekalipun kau melafazkannya?

Aku tahu perkahwinan bukan janji syurga... bukan janji bahagia, tapi sepenuh hati dan jiwa aku pertaruhkan. Aku sangka kita berkongsi impian yang serupa dalam membina istana bahagia, tapi rupa-rupanya kehadiranku bagai tak bermakna apa-apa. Reaksimu dingin dan beku. Menghampakan. Melontar diriku ke lembah duka nestapa.

Sungguh kesucianku tak tercela, tapi... aku difitnah oleh siapa sehingga kau tak mahu 'menyentuhku'? Aku ibarat musafir di padang pasir yang dahagakan setitis kasihmu. Menanti saat kau datang kepadaku dengan penuh rindu. Zairi... mengapa hubungan kita aneh begini? Aku tak mengerti, sandiwaramu. Rahsia apakah yang cuba kau sembunyikan hingga segalanya terus terpendam menjadi misteri?

Ah, lelaki... apakah sememangnya dilahirkan untuk melukakan hati perempuan? Dan perempuan pula, selama mana harus membiarkan hati terus terluka?

"Dhira percayalah... cuma kematian yang akan memisahkan kita berdua. I love you so very much. Hanya kau kekasihku..." 
RELAKU MENANTI (2006)
Sesungguhnya penantian ini satu seksaan yang mengguris hati hingga luka
SINOPSIS
Bahagiakah Nurin Aina jika hidupnya bagai lilin membakar diri? Dia terpaksa mendepani Liyana dan Mylia yang pendendam. Begitu juga dengan Luqman serta Zamil yang mengharapkan kasihnya. Setiap wajah yang berkisah, Nurin bagai hilang luahan rasa.

Zamil mencintai Nurin. Luqman juga mencintai Nurin. Yang mana satu pilihan hati? Zamil seolah-olah putus harapan apabila Luqman hadir dalam diri Nurin. Zamil cuba menahan sebak. Jiwa lelakinya menangis. Tapi bayangan Nurin juga yang sentiasa menghantui perasaannya.
Siapakah pilihan hati Nurin? Adakah Zamil atau Luqman yang bertepuk sebelah tangan? Siapa pula yang terluka hati?
JIKA BENAR CINTA (2006)
Untuk apa disembunyi rasa hati yang terlukis di jendela mata
SINOPSIS
Dia sukar menyatakan rasa cinta. Seolah-olah ucapan keramat itu bila diucapkan, bakal menjerut lehernya sendiri. Pengalaman lalu yang pahitnya masih lagi terasa juga menjadi punca mengapa dia tidak mahu berlindung di bawah payung hati lelaki. Teduhnya mungkin sementara saja. kalau boleh, dia mahu terus hidup sendiri.

Namun sejak terpandang senyuman manis Airy, hatinya bermukin di laman rindu. Ada debar membara di dada. Dia sendiri tidak tahu kuasa mana yang sudah menyampuk dirinya. Siang terpandang-pandang dan malam terbayang bayang. Asyik terkenang-kenang.

Gila. memang benar cinta boleh membuatkan manusia jadi gila. Jatuh cinta juga umpama jiwa yang dimahkotakan. Semua indah belaka.

Tetapi... sanggupkah dia menjadikan kebahagiaan hatinya satu taruhan lagi? Dia sendiri tidak pasti. Mampukah dia bertahan sekali lagi jika hatinya dilukai?

Dia tidak tahu menyemai kasih tanpa benih di ladang dan tidak bertanah. umpama mencari air yang tidak bergaram di tengah lautan.

Bukan sesuatu yang mustahil, namun 'jika benar cinta' segalanya memerlukan pengorbanan...
LAFAZKAN CINTAMU (2006)
Ucapkan sekali saja dan akan ku simpa di sepanjang hayatku
SINOPSIS
Mengenali lelaki itu adalah detik-detik terindah dalam hidup Erina. Dalam diam dia menyedari hatinya mula berubah rasa. Cinta pandang pertama itu makin mekar hari demi hari. Namun, di saat dia mula mencium wanginya bunga cinta, di saat itulah dia tahu bahawa lelaki itu telah dimiliki. Sewajarnya... dia tidak akan memburu cinta yang tak pasti!

Lantas, Erina terus memendam rasa, membiarkan cinta yang tak terucap itu tersimpan di lubuk hati. Meskipun di mata lelaki itu telah terpancar selautan cinta, telah terbayang mahligai bahagia, namun dia nekad. Cinta tak semestinya bersatu! Cukuplah sekadar memiliki hati lelaki itu, bukan tubuh badannya. Dia cuba membuang jauh segala rasa yang pernah membuatnya bahagia.
Aduhai perempuan... sampai bila mesti memendam rasa, sedangkan jiwa terus merana? Dengar dan lihatlah dengan mata hati serta akal fikiran, apakah terlalu payah untuk menuturkan kalimah suci itu? Mencintai dan dicintai bukan satu dosa, malah ia adalah satu fitrah, anugerah ILAHI untuk setiap insan. Lantaran itu, lafazkanlah cintamu, usah dibiarkan hati terus terluka... 

BERIKAN CINTAMU (2006)
Tiada ucapan, Tiada tulisan... yang ada hanyalah perasaan
SINOPSIS
Orang kata cinta itu indah dan mengasyikkan. Cinta itu juga sungguh romantis dan sukar untuk dilupakan. Namun, adakah cinta itu membahagiakan seandainya si dia tidak bijak melaksanakannya? Adakah cinta itu dianggap buta sekiranya si dia tidak pandai menilaikannya?

Kerana itu, Eza Nylea keliru dalam pencarian cintanya terhadap seorang lelaki bernama Rizal. Mengapa dia sahaja yang mendambakan cintanya selama hampir tujuh tahun dan membina keyakinan sendiri sedangkan lelaki itu langsung tidak menghargai kejujuran, ketulusan dan pengorbanannya?

Dia sahaja yang menjadi penunggu setia dan mengharapkan cintanya dibalas. Namun, Rizal tidak pernah berada di sisi tatkala Eza Nylea amat memerlukannya. Cinta itu memerlukan bukti dan itu yang Eza Nylea mahukan daripada Rizal.

Dalam penantian yang menyeksakan, Azalan datang sebagai seorang sahabat yang sudi berkongsi rahsia hati dan perasaan Eza. Persahabatan ini akhirnya termeterai dengan ikatan kasih sayang.

Eza keliru lagi. Antara Rizal dan Azalan.. yang mana harus diberikan cinta? Di sana masih mencintai, di sini menagih kasih.

"Andai aku dapat merasakan cinta, takkan pernah aku merasakan kesepian dan kehampaan"
TAUTAN KASIH (2007)
Wajahmu masih ku tatap meskipun telah terlindung di balik tirai semalam
SINOPSIS
Entah mengapa... Athirah merasakan hidupnya kosong. Ada yang menyayangi namun hati menidakkan. Ada yg disayangi tapi si dia menghilangkan diri. Lantas, apa lagi yg tinggal pada dirinya? dia sedar, dia harus memberi peluang kpd hatinya utk menerima dan memberi tapi dia tidak pandai mengungkapkan kalimah cinta seperti kata seorg temannya;

"Kau harus pandai mengambil hati dan mencintai seorg lelaki andainya kau ingin mencintai mereka. Kau tak seperti gadis2 lain yg ternyata asyik meladeni hati dan perasaan dengan lelaki pujaan. Kau seperti tak pernah teruja punya seorg teman lelaki..."

Ah... lelaki! Perlukah dicari? Atau si dia akan datang dgn sendiri?

Indah nama yg diberi tidak seindah lingkaran hidup yg dilalui. Itulah Irfan Iskandar. Hidupnya dihujani tohmahan. Namun dia sedar, sekemas-kemas perancangan manusia, ALLAH jua yg berkuasa menentukan segala-galanya.

Athirah & Irfan - kasih mereka pernah bertaut, tapi sayang seribu kali sayang... pertemuan kedua hanya berlaku di saat masing-masing hampir memulakan kehidupan baru.

"Haruskan mereka sekali lagi tunduk mengikut telunjuk takdir, menerima sahaja apa yg ada di depan mata? Atau membiarkan sahaja hati terus memendam rasa kecewa?"

 SENTUHAN CINTA (2007)
Walau Zahirnya tiada getar namun namamu membikin tiap helaan nafasku menderu
SINOPSIS
Hanya kerana dendam, Tajiyah sanggup memomokkan wajah Hurin Ain sebagai hodoh dan paling buruk. Sakit hatinya tatkala menatap rambut ikal mayang berwarna perang dan mata biru milik anak tirinya itu.

"Hah, teliti betul-betul muka kamu tu! Alangkah hodohnya muka kamu. Rambut perang dan mata biru kamu serupa mcm hantu. Bila org kata kamu cantik, org itu sebenarnya hina kamu."

Hurin Ain percaya dan menancapkan kepercayaan itu dalam mindanya tanpa prejudis kerana kasihnya kepada wanita itu. Dia mendambakan kasih seorang ibu yang tidak pernah membelainya.

"Mahu sahaja aku membawa hati ini dan pergi jauh dari sini. aku gadis yg buruk parasnya. tidak layak untuk bergandingan dgn mana2 lelaki. Oh TUHAN... berikan kekuatan kepadaku menempuh kehidupan ini."

Mungkinkah ada insan yang sudi membawa Hurin Ain kenal dirinya sendiri? Lalu memberikan kebahagiaan setulus kasih kepadanya?

"Cantik atau tidak seseorg itu, semuanya bergantung pada hati. Mereka yg bersih hatinya, akan berseri-seri wajahnya dgn nur keindahan. Insaflah dan buanglah sifat mazmumah yg hajat dari jiwa kita."
INDAHNYA KASIH (2007)
Kita memintal angan di ruang mimpi yang sama membina istana cinta
SINOPSIS
Kisah-kisah dongeng itu amat indah bagi seseorang anak kecil seperti Puteri Farahdika. Kisah-kisah khayalan itu penuh dengan kasih sayang, cinta luhur yang akan mematahkan segala kejahatan dunia. Akan ada seorang putera penyelamat membawa tuan puteri ke mahligai kebahagiaan.

Detik masa pun berlalu...

Tanpa terduga, tiba-tiba muncullah putera hati, menyulam kembali khayalan cinta Puteri yang terbina di alam remajanya. Terus mempercayai bahawa cinta luhur itu tetap wujud sebagaimana kisah-kisah dongeng semalam, Puteri melangkah ke alam perkahwinan. Dari dunia khayalan, dia mula mengenali realiti hidup sebenar.

Dia mulai belajar menjadi seorang suri di hati puteranya. Buat Puteri, perkahwinan itu bukan lagi satu fantasi. Di sini... di dunia yang baru ini, ada warna-warna kehidupan yang tersendiri. Dia perlu belajar menjadi seorang wanita matang seiring usianya. Dan sebagai suami, Aizat cuba membentuk permaisuri hatinya menjadi seorang wanita yang bernama isteri sejati.

INDAHNYA KASIH... merupakan sambungan KISAH KASIH, novel pertama yang menceritakan detik pertemuan Puteri dengan kekasih hatinya. Kini kisah mereka diabadikan lagi dalam gerbang perkahwinan yang dipenuhi sendu duka dan tawa bahagia sebuah kehidupan. 
 LAKARAN KASIH (2007)
Kulukis memori dengan jemari waktu berwarnakan butir-butir airmata rindu
SINOPSIS
Dzalia & Zuhairee, dua nama yang dijanjikan untuk bertemu dan jatuh cinta. Dua insan yang sekadar menyimpan rahsia hati, sedang diri menanggung sakit tidak terperi. Betapa lemahnya manusia... semudah itu tewas dalam ujian hidup yang tidak seberapa.

Siapa sangka... setiap pertemuan mereka sebenarnya dirancang. Ikatan dua keluarga tidak memungkinkan mereka berpisah. Tapi... ingkarkan namanya jika janji yang terlafaz tidak terungkai? Apa perlunya dipateri ikatan jika tidak membawa sebarang erti? Ah, cukuplah derita yang menjerat diri. Biar dilunaskan ikrar yang menghambat memori.

Dzalia... pilihanmu cuma satu. Sedarlah, belum tentu tugu cinta yang kau impi menjadi realiti. Bebaskan dirimu dari belenggu cinta yang tidak pasti.

Zuhairee... jangan kau pandang enteng cinta yang bersemi... kerana diammu akan memudaratkan hati. Kebisuanmu pasti memakan diri.

Ah... biarkan! tiada perlunya ucapan cinta, pengakuan kasih jika tidak mampu memiliki. Tiada perlunya lafaz sayang sedang diri makin dijauhi. Argh... jujurkah dirimu wahai hati?

'Manusia yang pernah jatuh tetapi tidak pernah belajar sesuatu dari kesilapannya, malah jatuh lagi di tempat yang sama adalah manusia yang paling malang."
 KASIH YANG SUCI (2007)
Seputih harapan kudambakan memagari rindu yang membiru
SINOPSIS
Sepuluh tahun yang lalu, kesucian Nora Elena dinodai. Andai masa boleh diulang kembali, pasti jiwanya tidak punah. Tapi dia sedar, takdir hidup tidak memihak kepada sesiapa. Saiful Idham, tunangnya pergi kerana tragedi ini. Tiba-tiba muncul Seth menawarkan diri utk menjadi suaminya. Nora Elena keliru...

Ternyata doa Seth dimakbulkan. Sepuluh tahun dia menjejaki gadis itu. Nora Elena, cinta yang bermula dari pandang pertama. Namun kenyataan tidak seindah impian. Hangatnya asmara Seth, namun hanya dia yang terbakar sendiri. Rasa cinta isterinya tidak dapat disentuh walaupun hakikatnya mereka berkongsi ranjang yang sama. Jiwa lelakinya merintih. Nora Elena bagai bayang-bayang yang tidak dapat dipegang.

"Hakikatnya, aku suami dan kamu isteri. Perkahwinan ini adalah simpulan mati. Hanya maut yang akan memisahkan kita berdua." tegas Seth.

Tapi mengapa Elena menjadi wanita asing dalam perkahwinan ini? Rahsia yang selama ini disimpan kemas akhirnya terbongkar. Sebenarnya... Sethlah lelaki durjana itu. Menodainya atas alasan kerana kasihnya yang suci! Benarkah?

Lelaki adalah nafas hidup dan wanita adalah nadi jiwa... saling memerlukan dan mencintai. Dan cinta itu maknanya saling memberi dan menerima.

Nora Elena akhirnya reda menerima Seth. Dia tidak akan menoleh lagi kerana lelaki itulah syurganya di akhirat nanti.
ATAS NAMA CINTA (2007)
Akulah penunggu cinta yang tegar... menanti di mana-mana sampai bila-bila
SINOPSIS
"Firas... saat kau ucapkan ungkapan cinta, aku sudah bersedia serahkan
segalanya. Untuk melafazkan cinta bukan mudah. Sekali kulafaz, hingga
ke nafas terakhir cinta itu masih bernada dalam hati ini. biarpun
menjadi lilin yang membakar diri dalam kegelapan hanya untuk
memberikan cahaya. Demi sebuah kejujuran yang ku agungkan, aku
rela..." ~ Ardini

"Ardini... kerana rindu membuatkan aku mencintai dan menyayangimu.
Segenap ruang nafasku, hanya namamu yang menciptakan irama cinta nan
indah. Kau menghamparkan kasih untuk aku meniti batas-batas
kebahagiaan bersamamu. Hingga aku berikrar, tiada nama lain yang
bersemadi di hati ini." ~ Firas.

Sukarnya Firas menakluki hati dan cinta Ardini. Pelbagai cara
dilakukan agar gadis punjaan hati menjadi miliknya yang abadi.
Bukankah cinta itu satu pengorbanan? Dan itulah yang menguntumkan
kemanisan cinta. Ijab kabul bukti bahawa cinta mereka bukan hanya di
bibir.

Gelora ombak dan taufan telah mengaramkan bahtera cinta mereka ketika
disinari cahaya bahagia. Namun, mengapa ada insan yang mencemburui
keindahan cinta mereka? Mengapa perlu ada duri-duri yang menghalang
mereka ke puncak kasih hingga hati mereka tercalar luka?

Atas nama cinta, mereka berpegang teguh pada janji setia...
 KU DAMBA BAHAGIA(2007)
Adakalanya menghitung bintang di sunyi malam lebih mudah dari menggenggam sebuah hati
SINOPSIS
Dia begitu dambakan bahagia. Setiap saat dan detik yang berlaku dalam
hidupnya adalah satu perjalanan yang penuh makna. dia melihat
kehidupan ini dengan penuh warna-warna indah dan keceriaan. Namun,
kejadian yang menimpa benar-benar mengujinya.

Alia tidak pernah tahu apa itu cinta. Pertama kali bertentangan dengan
Adnan Taufik, dia rasa gundah. Apa yang ada pada lelaki itu hingga
mengganggu lenanya? Apakah benar wujudnya cinta pandang pertama? Dia
sendiri meraguinya. Namun, dia terpaksa terima kenyataan. Cintanya
berputik saat senyuman indah itu terukir buatnya.

Adnan Taufik tidak menyangka, mencintai alia akan mengheretnya ke
lembah penderitaan. Entah mengapa, cinta yang lahir dari kesucian dan
keikhlasan hati akhirnya terkubur juga. Sesungguhnya, cinta mereka
tidak kuat untuk menahan gelombang yang melanda.

Bagi Alia, dia tidak mengerti mengapa tiba-tiba Adnan Taufik pergi
dari sisinya. Sedangkan ketika itu dirinya dibaluti bahagia. Salah
faham yang berlaku menyebabkan mereka menyimpan dendam yang bukan sedikit.
 GELORA ASMARA (2007)

SINOPSIS
Tengku Ryan, si mata keranjang. Juga digelar playboy profesional. Dgn rupanya yg kacak dan peninggalan pusaka yg banyak sudah cukup membuatkan dia digilai ramai wanita. Linda anak hartawan dan Nora gadis GRO adalah mangsa mainan perasaannya.

sikap ryan yg selalu leka dgn nikmat duniawi itu juga membuatkan Engku Zabedah dan Lokman cuba mengambil kesempatan utk merampas segala hartanya. Dengki & dendam telah lama bersarang dlm diri dua beranak itu.

Namun di suatu ketika, Ryan telah bertemu dgn Jelita, si gadis ayu yg tidak mempercayai perkahwinan. Jelita telah menutup pintu hatinya untuk menerima mana-mana lelaki yg hadir dlm hidupnya. Bagi Jelita, lelaki hanya utk menyakiti. Pengalaman ibunya, Puan Eliza sedikit sebanyak mempengaruhi rasa hatinya. Kegagalan perkahwinan ibunya dulu telah menjadi punca Jelita meminggirkan soal rumah tangga.

Ryan berasa tercabar bila cintanya ditolak Jelita. Dia mencuba sedaya upaya yg mungkin utk memikat Jelita. Tapi malang tidak berbau, suatu malam disebabkan Jelita, Ryan telah ditimpa kemalangan yg secara langsung telah mengubah kehidupannya.

Sejak itu, Jelita diserbu rasa bersalah dan sentiasa membantu Ryan utk memperbaiki kesilapan yg pernah dilakukan dulu. Mungkinkah keakraban mereka itu bakal mewujudkan satu rasa cinta yang tulus dan ikhlas?

"Mata bertentangan, menautkan satu rasa. Rasa yang sukar untuk diungkapkan."
ADA CINTA DI HATI (2007)

SINOPSIS
Mereka ditakdirkan lahir sebagai pasangan kembar seiras. Walaupun dari segi lahiriah tiada bezanya, tapi batiniah mereka tidak sekata. Adlyna seorang gadis yang langsung tidak takut pada halangan sehinggakan apa yang diingini mesti dikota. Bagi Adreena pula, dia seorang yang lembut hati dan mudah mengikut kata. Lantaran, dia sering dipersendakan oleh kakak kembarnya.

Adlyna hebat di pentas peragaan. Kerlipan cahaya yang sering menyimbahi tubuhnya menyebabkan dia seperti berada di awang-awangan. Sehingga, dia nekad meninggalkan majlis perkahwinan di saat-saat akhir demi memenuhi tuntutan hatinya. Akibatnya, Adreena yang terpaksa menjadi korban saudara sendiri.

Keterpaksaan Syukri dan Adreena menjadi pasangan suami isteri menyebabkan hubungan itu bergantung tidak bertali. Tiga tahun mereka melayari bahtera yang tiada nakhoda, dan selama itu semuanya menjadi rahsia. Indah di mata orang tapi derita di hatinya.

Kesetiaan Adreena dicabar dan diasak-asak. Sampai bila dia harus berdiri dan terima segalanya dengan redha? Ya… selagi ada cinta di hati, dia harus lakukan sesuatu biar apa jua natijahnya.

Dia sering diterjah dengan pepatah, ‘air dicincang takkan putus.’ Tapi, di mana kebenaran kata-kata itu kalau hatinya sering disiat-siat dan dilapah tiap ketika? Dan bagaimana dengan Adlyna? Bahagiakah dia setelah mencipta duka? 
 KENANGAN TERINDAH (2008)
Biarlah memori semalam tinggal tersimpan di sudut hati
SINOPSIS
Sanggup berkorban tanda cinta, tetapi Marisa tidak sanggup mempersiakan usia muda untuk berkahwin dengan Ridzwan. Apatah lagi selepas itu terpaksa berpisah demi cita-cita yang ingin digapai Ridzwan di luar negara.

Bukan bermakna cintanya tiada harga. Dia tahu, Ridzwan keliru dalam mengukur sejauh mana cintanya. Mustahil Ridzwan tergamak membiarkan diri berpaut pada yang lain, menabur duri pada cintanya.

Namun, hati lelaki sememangnya sukar dijaga. Kesetiaannya pedih dicalar luka. Kemudian, dugaan membadai lagi. Ayah tercinta pula pergi buat selamanya.Tanggungjawab pada keluarga dan syarikat digalas ketika masih mentah. Kesabarannya berbalas, TUHAN kirim­kan seorang insan untuk menghapuskan airmata, merawat lukanya dan berada di sisi... ketika suka atau duka.

Masa berlalu... Ridzwan kembali menagih cinta. Hati Marisa tidak pernah ke­liru, cintanya terhadap si dia semakin menebal. Namun, dirahsiakan nama si dia daripada pengetahuan Ridzwan, tidak mahu lelaki itu tersalah anggap.Ketika rahsia tersingkap, dapatkah Ridzwan menerima kenyataan yang dia kenal insan itu?
DI LANGIT CINTA (2008)
Bahagianya bersemayam di sebalik awan menyulam kasih kita
SINOPSIS
Cinta tidak bererti memiliki. Tetapi cinta juga bukan bermaksud melukai. Bagi Hani, cintanya bersama Raiz rupanya hanya sebuah mimpi. Dia benar-benar kecewa bila ditinggalkan terkapai-kapai mencari haluan sendiri.

"Cinta pertama dgn kau tapi malam pertama dgn Meriam!" Sindiran itu bagai memetir di telinga Hani. Jiwanya hangus terbakar. Maruahnya terasa dipijak-pijak!

Benarkah cuma dia yg setia sedangkan Raiz hanya bijak bermain kata-kata? Dia berusaha memujuk diri melupakan semuanya tentang Raiz. Tapi batinnya tersiksa menanggung rindu mengejar bayang lelaki itu.

Di langit sana... Raiz pula menangisi setiap mlmnya di sisi Meriam. Dia menikahi sepupunya itu utk melunaskan hutang emaknya. Hanya sekali dia menyentuh Meriam. Itulah yg pertama dan terakhir setelah beratus kali Meriam menyindirnya suami dayus dan serba serbi tak mampu.

Kasih mereka kasih terhalang, tapi rindu mereka tidak pernah terlarang. Hani dan Raiz dipertemukan semula dlm episod kedua. Janji mereka utk hidup sebagai suami isteri akhirnya dimaterai dgn ijab kabul tanpa restu keluarga.
KALIMAH JIWA (2009)
Aku menanti janjimu di tengah lautan resah
SINOPSIS
Ifliany sama sekali tidak menduga, suami sendiri sanggup mengurung dan melacurkannya. Air mata tidak henti merawat luka di hati. Setiap hari dia menadah tangan, semoga neraka dunia itu bukan tempat utk dia selama-lamanya.

Doanya termakbul... dia diselamatkan oleh Naqlis. Pemuda itu bagaikan menyuluh sinar bahagia utknya, menjirus bersih noda di seluruh tubuhnya. Status lelaki itu sbg peguam melayakkan Ifliany mendapat pembelaan. Kedurjanaan Fahren, si suami wajib dihukum!

Namun, laporan pemeriksaan doktor sungguh memeranjatkan. Ifliany masih dara! Lantaran itu apa bukti dia seorg pelacur? Dan apa pula tindakan Naqlis utk mendakwa Fahren.


HANYA DIA TAHU (2009)
SINOPSIS
ARIANA melihat Nasuhah sangat sepadan dengan abangnya, Zaen Luthfi seorang pengurus muda. Sebagai seorang adik yang nakal, dia asyik mengusik abangnya tentang Nasuhah hingga menimbulkan kemarahan Zaen. Tanpa pengetahuan adiknya, Zaen telah menghubungi Nasuhah dan menghamburkan kata-kata yang nista.

Takdir telah mempertemukan mereka di dalam sebuah majlis. Sejak itu, Zaen sudah terkena panahan asmara. Dia cuba untuk mendekati Nasuhah, namun gadis itu sudah tawar hati. Zaen nekad akan terus memburu cinta Nasuhah walaupun sejauh mana dia melarikan diri.

Pertemuan semula Nasuhah dan Rezuan rakan sekampus bagaikan jalan pintas baginya untuk menyelesaikan masalah yang melanda. Namun, huluran kasih Rezuan secara tiba-tiba membuatkan hatinya berbolak-balik.
Walau bagaimana payah pun, Nasuhah mesti berani membuat keputusan yang bakal ditanggung sepanjang hayatnya. Menolak cinta orang yang sukakannya ataupun menerima sahaja lamaran kawan lama yang tidak pernah wujud di hatinya. 
TIADA NOKTAH CINTA (2009)
Tahukah kau kita sama-sama terluka dan terseksa
SINOPSIS
Aku kehilangan cinta demi kasih yang tidak ternilai. Kau kehilangan cinta kerana terasa diperdayakan. Lantas dalam sendu yang masih bersisa, kita diikatkan dalam satu ikatan yang amat suci. Setelah lafaz termeterai, dalam pasrah aku serahkan jiwa ini hanya untukmu. Namun, tahukah kau betapa pedih luka di hati tatkala kau mengakui si dia masih bertakhta di hatimu? Aku tahu kau terseksa. Tahukah kau aku juga menderita? Di hujung derita itu, aku tahu kita berdua serupa. Berkorban dan terkorban demi orang yang paling dicintai… paling dikasihi. Haikal Hakimi… Sara Ellyssa… dua jiwa tersandar kepiluan. Masihkah ada cahaya menyuluh jalan alam rumah tangga yang baru dilafazkan?
MATAHARIKU (2009)
Tanpa suaramu aku bagaikan hilang arah
SINOPSIS
Syakirah, gadis biasa-biasa yang bertahi lalat di bawah bibirnya, sekalipun tidak sehebat seorang ratu, tetap istimewa. Keresahan jiwa telah menjadikan dia gadis ‘nakal’ yang menghabiskan masa di dunia fantasi ‘anime’. Dia juga menjadi ‘pakar mengurat’ di alam maya. Sekalipun umurnya sudah mencecah kedewasaan, namun cinta dan kasih sayang seorang lelaki tidak pernah berbunga dalam hidupnya.

Perkahwinan merupakan sesuatu yang menggerunkan, kerana nun jauh di lubuk hati, dia bimbang menjejaki ibunya dan tidak mahu dilabelkan sebagai gadis ‘materialistik’. Pun begitu, kehadiran Khair atau ‘Kai’ sejak remaja lagi, kini mula mengubahkan perasaannya. Kalau dulu dia tidak merasakan Kai itu menarik, kini dia tahu lelaki itu mampu menyinarkan hidupnya. Bukankah mereka serupa sahaja? Malangnya, tiba-tiba sahaja ombak deras datang memukul, lalu mengucar-ngacirkan hidupnya. Syakirah terkapai-kapai dan tidak tahu hendak ke mana. Tahu-tahu dia sudah terperangkap dalam sesuatu yang hampir dekat dengan igauannya!

Kehadiran lelaki yang berketurunan campur itu meresahkan lagi hidupnya. Mengapa dia harus hadir dan mengelirukan keadaan? Apakah kuasa yang dia ada untuk melemahkan semangat dan mengecutkan perut gadis yang kaya dengan keayuan asli itu?

“It’s all about going crazy… and doing crazy thing.” katanya lagi,
“Kerana kehadiranmu sinonim dengan cahaya matahari…”
CINTA KEPALA BATU (2010)
Dalam benci ada rindu kerana rindu aku merana
SINOPSIS
PERTEMUAN Syaira dan Adam bermula dengan salah faham. Akibatnya, Adam memendam gelora rasa dan Syaira pula menyimpul benci di dada.Mereka berbicara, tetapi dengan bahasa tidak sekata dan pandangan berlainan cara.
Hidup Syaira mula huru-hara dengan berita kematian Imran dan Selina. Dia rebah buat seketika, namun atas rasa tanggungjawab, dia bangkit memikul amanat. Nasib anak-anak saudaranya perlu dibela. Namun, semuanya jadi sukar apabila Adam sering mencampuri urusannya.
Tak percaya CINTA! Begitulah pendirian Syaira. Hatinya sekeras batu. Baginya, cinta sekadar mainan jiwa yang tidak membawa sebarang makna. Impiannya... cukuplah bertemu bahagia andai jodoh tiba. Lantaran itu, lamaran Adam diterima dengan reda.
Namun, hidup manusia tidak pernah lari daripada ujian. Ketulusan dan kejujurannya selalu dipertikaikan. Pengorbanan nya sering dibayar dengan hinaan. Dia kian lemah dilanda badai dan gelora.
Akhirnya, dia pasrah pada setiap kehilangan... dan ketentuan...

AKU MAHU KAMU (2010)
Kembalilah kerana kau adalah sebahagian dari diriku
SINOPSIS
Empat tahun Qisya Khaleesa cuba bertahan demi merawat luka di hati. Biarpun sukar, dia masih mengharapkan kemaafan Ziyad Fallah. Namun, suaminya itu tetap meletakkan kesalahan ke atas bahunya. Padahal, jiwa ibu mana yg tidak merintih setelah kehilangan satu2 permata hati? Pemergian Faiq yg dijemput ILAHI benar2 meragut kebahagiaan dia dan Ziyad.

Keegoan Ziyad membuatkan Qisya berjauh hati. Dia nekad membawa diri. Di luar pengetahuan Ziyad, dia tabah mengharungi hidup sendiri sehinggalah zuriat kedua mereka lahir ke dunia. Walaupun berat hatinya, Qisya berkorban sekali lagi tatkala dia sengaja meninggalkan bayi comel yg baru dilahirkannya itu di kediaman Ziyad. Dia rela berpisah dgn Firyal hanya kerana mahu menebus kekecewaan suaminya itu.

Namun, ternyata perpisahan itu bagaikan merentap naluri keibuan Qisya. Hatinya tetap juga bergetar hebat tatkala bayangan Ziyad dan Firyal melintas jiwa. Dia tahu, di segenap relung nadinya masih sarat dgn rindu. Dan, dia hanya berperang dengan waktu demi melunaskan kerinduan itu.