Islamic Widget

Latest Update

15 December 2010

Lumrah dan Asam Garam Kehidupan...

Layang-layang terbang melayang...
Hidup ini kuibaratkan umpama layang-layang. Bermula dari ia dirangka,dicorak sehingga ia bisa terbang bebas di awangan. Begitu juga lumrah kehidupan manusia, sedari kecil dirinya diasuh oleh ibu dan ayah, disematkan ilmu dan iman di dada sehinggalah dirinya berada di puncak kejayaan yang belum tentu miliknya yang abadi.


Zahirnya, Layang-layang itu memang bisa terbang bebas kesana kemari, kekiri kekanan selagi mana angin bertiup. Namun, pabila ribut melanda, selama mana ia mampu bertahan bergantung kepada tali yang mengikatnya, andai kuat pautan tali itu,maka akan bertahanlah ia. Andai rapuh tali yang digunakan itu maka putuslah talinya lalu rosaklah ia dan jatuhlah menyembah ke bumi.

Demikian juga yang berlaku kepada hidup manusia. Pabila berada di puncak kejayaan, mereka bebas untuk membuat keputusan, mereka bebas untuk melakukan apa sahaja kerana mereka tahu, mereka adalah orang yang berkuasa tika dan saat itu. Kebebasan tercipta diibaratkan layang-layang yang terputus talinya,bebas melayang sehingga mereka lupa asal usul mereka, mereka lupa jati diri mereka, mereka lupa kepada Pencipta mereka.

Namun, harus diingat, seberapa lama layang-layang itu bisa bertahan di awangan tanpa tali yang menjadi kemudinya. Tiba suatu saat nanti ia pasti akan jatuh menyembah bumi dan tidak mampu untuk berada diawangan semula sehinggalah tali itu diikat kembali.

Tali yang menjadi kemudi kepada layang-layang kuibaratkan ilmu dan iman yang ada dalam diri setiap insan. Semakin teguh ilmu dan iman yang ada dalam hidup seseorang itu, maka semakin kuatlah tali yang bakal mengemudi layang-layang itu. Walau terpaksa melalui ranjau kehidupan yang sukar, andai ada bekalan ilmu dan iman yang mencukupi, InsyaAllah mereka bisa melaluinya walau seteruk manapun ribut yang melanda.


Seringkali kita mendengar pepatah, jangan terbang terlalu tinggi, kelak jatuh merana diri, terbanglah sederhana walaupun mampu untuk terbang tinggi, kerana jatuh dari ketinggian sederhana tidaklah seperit jatuh dari satu aras yang tinggi.

Jangan terlalu mendabik dada dengan kejayaan yang kamu kecapi kerana kelak kamu akan jatuh tertunduk menghadapi kegagalan. Jadilah manusia yang  bersederhana di dalam segala hal kerana bermegah-megah itu penyebab terputusnya tali layang-layang yang telah kamu cipta.!!!

Kehidupan setiap manusia itu bergantung kepada dirinya sendiri. Andai mereka memilih jalan yang betul, maka cerahlah masa depannya. Namun, andai mereka memilih jalan yang penuh dengan noda-noda hitam, maka hitam dan gelaplah kehidupan mereka. Oleh itu, jangan salahkan orang lain yang menyebabkan kehidupan kamu gelap gelita, kerana kamu sendirilah yang sebenarnya berhak dan bertanggungjawab untuk menentukan hala tuju hidupmu!

Tepuk dada..Tanyalah Iman..

Wallahualam...

Kebahagian tidak tercipta semudah yang disangka
With Love;
(4.15a.m, Dec 15th)

No comments: